Puchong United BC Tewaskan Kepong BC Dalam Pertarungan “Final Ulangan”

CYBERJAYA (28 Disember 2018): Aksi keempat perlawanan SS Purple League (SSPL) 2018/19 yang menemukan dua finalis SSPL musim lalu menyaksikan Kelab Badminton (BC) Puchong United mengulangi kejayaan sama dengan mengatasi Kepong BC 11-8 di Gem In Mall tadi.

Kepong BC memulakan aksi dengan kemenangan melalui pemain perseorangan lelaki mereka, Lim Chi Wing yang menewaskan pemain Puchong United BC, Goh Giap Chin 3-0 (11-4, 11-7, 11-5).

Puchong United BC bagaimanapun tidak memberikan laluan mudah dan mereka pantas bangkit semula dalam acara perseorangan wanita selepas itu melalui Ho Yen Mei yang mengatasi Yeung Sum Yee 3-1 (11-6 11-9 1-11 11-9).

Dalam acara beregu lelaki selepas itu, Tan Boon Heong- Teo Ee Yi kembali meletakkan Puchong United BC mendahului 6-5 setelah gandingan itu mengatasi pasangan ranking ke-26 dunia dari Chinese Taipei yang beraksi bersama Kepong BC, Lu Ching Yao- Yang Po Han 3-1 (11-6 11-8 10-11 8-6).

Goh Liu Ying- Tang Chun Man yang tampil dalam beregu campuran berjaya menjarakkan lagi mata kemenangan Puchong United BC. Mereka mengatasi pasangan Kepong BC, Cheah Yee See- Mohd Arif Ab Latif 3-1 (11-4 8-11 11-10 11-4) untuk membolehkan Puchong United BC semakin selesa mendahului 9-6.

Satu lagi acara perseorangan lelaki menyaksikan pemain Puchong United BC dari Hong Kong yang juga pemain ranking ke-36 dunia, Lee Cheuk Yiu mengakhiri aksi dengan keputusan seri 2-2 (11-5 10-11 11-8 9-10) menentang Soong Joo Ven namun tidak menggugat kemenangan juara bertahan itu dalam “final ulangan” malam ini.

Pengurus Puchong United BC, Irina Inozemtseva yang ditemui selepas perlawanan berkata, “Kami gagal mengutip banyak mata kemenangan biarpun berjaya menang tadi. Agak rugi membiarkan lawan mencuri banyak mata tadi.”

“Tiga baki aksi di peringkat pertama selepas ini kami akan berjumpa Serdang BC, Bandar Maharani BC dan juga Petaling BC. Bukan tugas mudah kerana kami mensasarkan dua kedudukan teratas liga, jadi perlu mengkaji semula video pihak lawan,”kata Irina.

Pada sebelah petang tadi, Ampang Jaya BC turut mengukuhkan lagi kutipan mata kemenangan dalam saingan SS Purple League (SSPL) setelah mengatasi Tebrau City BC 10-9 dalam aksi keempat mereka di Gem In Mall, tadi.

Kemenangan yang dicapai itu adalah yang keempat berturut-turut diraih Ampang Jaya BC dalam SSPL musim ini setelah mereka menang 10-9 ke atas Petaling BC, 11-9 menewaskan Kepong BC dan satu lagi kemenangan 9-6 ke atas Puchong United BC.