Petaling BC Di Puncak SSPL, Bandar Maharani BC Kekal Di Dasar

CYBERJAYA (29 Disember 2018): Kelab Badminton (BC) Petaling terus garang dalam saingan SS Purple League (SSPL) musim ini. Dalam aksi keempat mereka di Gem In Mall petang tadi, pasukan itu mengatasi Bukit Mertajam All Stars BC (BMASBC) 13-7 untuk melonjak ke tangga pertama liga.

Dalam acara perseorangan lelaki, Chong Yee Han berjaya merakamkan kemenangan untuk meletakkan Petaling BC mendahului setelah dia mengatasi wakil BMASBC, Riyanto Subagja 3-1 (8-11, 11-7, 11-7, 1-6).

Pungutan mata kemenangan Petaling BC bertambah selepas mereka terus menguasai acara perseorangan wanita. Kali ini, Yulia Yosephine Susanto menang 3-1 (9-11, 11-9, 11-7, 11-10) ke atas Lim Jing Ning untuk menjarakkan kedudukan menjadi 6-2.

Goh V Shem yang bergandingan dengan Man Wei Chong dalam acara beregu lelaki menambah lagi mata buat Petaling BC. Mereka beraksi mantap untuk menang mudah 3-0 (11-2, 11-6, 11-7) menewaskan pemain BMASBC, Chua Yue Chern- Sim Fong Hau. Kemenangan itu semakin membuatkan Petaling BC selesa mendahului 9-2.

BMASBC berjaya bangkit meraih mata dalam acara beregu campuran apabila pasangan Agrippina Prima Rahmanto- Jin Yujia mengejutkan pasangan Petaling BC, Terry Hee Yong Kai- Lai Pei Jing 3-1 (8-11 11-9 11-10 11-10) merapatkan kutipan mata keseluruhan kepada 10-5.

 

Cheam June Wei yang turun dalam satu lagi aksi perseorangan lelaki terus melebarkan jurang mata buat Petaling BC apabila dia menang 3-2 (7-11, 11-8, 2-11, 11-5, 11-9) ke atas wakil BMASBC dari Perancis, Lucas Corvee.

 

Goh V Shem berkata, “Biarpun turun kali pertama musim ini, saya gembira berpasangan dengan Man Wei Chong untuk membantu Petaling BC mendapat mata kemenangan tadi. Kami berjaya mengelak untuk melakukan kesilapan mudah ketika bermain dan ia menyukarkan lawan kami.”

“Petaling BC musim ini semakin kuat dengan kemasukan beberapa pemain ternama di tambah dengan pemain junior yang kini semakin mantap. Jadi mengharapkan Petaling BC akan mendapat keputusan yang lebih baik dalam saingan SSPL musim ini,”kata V Shem.

Satu lagi perlawanan pada sebelah malam yang menemukan dua pasukan terbawah SSPL berjaya dimenangi oleh Serdang BC setelah mengalahkan Bandar Maharani BC 9-7. Keputusan itu menyaksikan Bandar Maharani terus berada di tangga paling bawah liga dan mereka perlu melakukan sesuatu sekiranya bercita-cita bangkit dalam tiga lagi baki perlawanan liga round robin.