Ismail Saman Mahu Petaling BC Kekal Fokus, Kepong BC Turut Buru Kelompok Atasan

CYBERJAYA (2 Januari 2019): Ketua Jurulatih Kelab Badminton (BC) Petaling, Ismail Saman mengharapkan anak buahnya kekal fokus dalam dua lagi baki perlawanan peringkat pertama SS Purple League (SSPL) selepas mereka mengatasi Tebrau City BC 15-4 di Gem In Mall petang tadi.

Ismail Saman berkata, “Saya gembira dengan kedudukan kita ketika ini namun saya mahu berbincang dengan semua pemain supaya kita tidak leka dan tidak memandang rendah keupayaan lawan kerana ia masih awal.”

“Kita akan bertemu Serdang BC dan Puchong United BC dalam dua baki peringkat pertama. Walaupun kita di kedudukan selesa tapi kita tidak boleh hilang fokus dalam dua aksi tersebut. Saya juga akan memikirkan bagaimana cara untuk menyekat Puchong United BC nanti,”katanya selepas aksi tadi.

Kemenangan ke atas Tebrau City semakin mencerahkan peluang Petaling BC untuk merebut salah satu daripada dua slot automatik ke pusingan akhir SS Purple League (SSPL) 2018/19.

Petaling BC kini memiliki 60 set kemenangan berada di puncak SSPL, diikuti Puchong United BC dengan 58 set kemenangan, dan Ampang Jaya BC dengan 55 set kemenangan selepas mereka mengharungi lima aksi setakat ini.

Dalam aksi petang tadi, acara perseorangan lelaki menyaksikan Chong Yee Han meletakkan Petaling BC di depan setelah dia menang tipis ke atas pemain Tebrau City BC, Ye Binghong 3-2 (11-8 9-11 5-11 11-7 9-4).

Petaling BC terus mencengkam kedudukan set mata menjadi 6-2 setelah mereka turut menguasai acara perseorangan wanita. Kali ini pemain dari Indonesia, Gabriela Melaini Moningka menang ke atas pemain Tebrau City BC, Xu Wei dengan kiraan 3-0 (11-6 11-4 11-9).

Kegarangan Petaling BC semakin terserlah dalam acara beregu lelaki. Kali ini giliran Goh V Shem- Shia Chun Kang pula membenam gandingan Tebrau City BC, Ng Eng Cheong- Tan Wee Gieen dengan keputusan 3-0 (11-8 11-8 11-3) sekaligus mengubah kedudukan kepada 9-2 dalam perlawanan ini.

Tidak cukup dengan itu, Petaling BC terus meraih kemenangan dalam acara beregu campuran melalui pasangan Chen Tang Jie- Peck Yen Wei yang mengalahkan Low Hang Yee- Soong Fie Cho 3-1 (11-7 11-5 6-11 11-3). Keputusan itu membolehkan Petaling BC di depan 12-3.

Kemenangan bergaya Petaling BC disempurnakan oleh perseorangan lelaki utama, Cheam June Wei yang mengatasi Yeoh Seng Zoe 3-1 (11-6 11-10 7-11 11-2) sekaligus membawa Petaling BC berada di persada SSPL.

 

Dalam satu lagi aksi pada sebelah malam yang baru saja tamat, Kepong BC turut merapati pasukan-pasukan kelompok atasan setelah mereka berjaya menang 10-7 menumpaskan Bukit Mertajam All Stars BC. Kemenangan itu melonjakkan Kepong BC daripada tangga ke-5 liga ke tangga ke-4 dengan mengumpulkan 52 set kemenangan setakat ini.

Mengikut format SSPL, enam pasukan akan berentap dalam pusingan akhir SSPL yang akan berlangsung di Resorts World, Genting hujung bulan ini. Enam pasukan tersebut adalah dua pasukan teratas SSPL peringkat pertama dan pasukan di kedudukan ke-3 hingga ke-8 pula bakal bersaing untuk merebut baki empat lagi slot di peringkat kedua SSPL nanti.