Ampang Jaya BC Semakin Yakin Raih Slot Automatik Ke Pusingan Akhir SSPL 2018/19

CYBERJAYA (3 Januari 2019): Kemenangan 11-7 yang diraih oleh Kelab Badminton (BC) Ampang Jaya ke atas Bukit Mertajam All Stars BC (BMASBC) dalam perlawanan keenam di Gem In Mall sebentar tadi menambahkan keyakinan kelab itu untuk menggenggam salah satu daripada dua slot automatik ke pusingan akhir SS Purple League (SSPL).

Keyakinan itu disuarakan oleh pengurus pasukan Ampang Jaya BC, Ho Khek Mong namun dia tetap mahu anak buahnya berwaspada dalam baki aksi terakhir menentang pasukan bawahan liga, Serdang BC.

Ho Khek Mong berkata, “Biarpun menang tapi kita kalah dalam acara perseorangan lelaki hari ini. Bagi saya mereka (Tan Jia Wei dan Lee Zii Jia) masih muda. Mereka tidak dapat mengawal tekanan namun bagi saya ini adalah platform terbaik. Ianya adalah satu pengalaman berguna sekaligus membantu perkembangan mereka.”

“Mengenai kedudukan kita, saya yakin Ampang Jaya dapat meraih salah satu kedudukan terbaik sekaligus meraih slot automatik ke pusingan akhir SSPL musim ini. Apapun kita tidak boleh leka kerana prestasi semasa perlawanan yang akan menentukan kedudukan kita apabila turun menentang Serdang BC pada aksi terakhir peringkat pertama nanti,”kata Khek Mong.

Ampang Jaya BC dikejutkan dalam acara perseorangan lelaki selepas pemainnya, Tan Jia Wei tewas mengejut kepada pemain Bukit Mertajam All Stars BC, Riyanto Subagja 1-3 (11-6, 8-11, 10-11, 4-11) dalam masa 29 minit perlawanan.

Goh Jin Wei tidak menunggu lama untuk memadam kelebihan BMASBC apabila dia membenam Kong Yi Jin 3-0 (11-2, 11-4, 11-3) dalam acara perseorangan wanita selepas itu. Kemenangan itu meletakkan Ampang Jaya BC mula mendahului 4-3.

Rentak kemenangan Ampang Jaya BC diteruskan dalam acara beregu lelaki apabila gandingan Chooi Kah Ming- Lukhi Apri Nugroho menang 3-1 (11-8, 11-5, 10-11, 11-8) ke atas Chua Yue Chern- Sim Fong Hau membolehkan Ampang Jaya BC terus di depan 7-4.

Pasangan beregu campuran Ampang Jaya BC, Chan Peng Soon- Shevon Lai Jemie mempamerkan persembahan mantap untuk mengukuhkan lagi kedudukan pasukan mereka menjadi 10-4. Pasangan itu menang 3-0 (11-9, 11-9, 11-9) menewaskan Jin Yujia- Agrippina Prima Rahmanto Putera.

Dalam acara perseorangan lelaki utama yang berlangsung pada penghujung saingan, pemain Ampang Jaya BC yang juga pemain kebangsaan, Lee Zii Jia turut tewas 1-3 (7-11, 11-8, 3-11, 8-11) kepada pemain BMASBC dari Perancis, Lucas Corvee namun ia tidak mengganggu kemenangan mutlak Ampang Jaya BC.

Sebelum itu, dalam aksi pada petang tadi, kemenangan Puchong United ke atas Bandar Maharani BC 13-8 menyaksikan pasukan itu kini mendahului carta SSPL. Bagaimanapun kedudukan mereka belum selamat untuk mendapatkan slot automatik ke pusingan akhir SSPL.

Mengikut format SSPL, enam pasukan akan berentap dalam pusingan akhir SSPL yang akan berlangsung di Resorts World, Genting hujung bulan ini. Enam pasukan tersebut adalah dua pasukan teratas SSPL peringkat pertama dan pasukan di kedudukan ke-3 hingga ke-8 pula bakal bersaing untuk merebut baki empat lagi slot di peringkat kedua SSPL nanti.