Aksi Terakhir Tentukan Dua Pasukan Teratas Peringkat Pertama SSPL

CYBERJAYA (4 Januari 2019): Perlawanan terakhir SS Purple League (SSPL) pada esok dan Ahad ini menjadi penentu pasukan mana bakal “menawan” dua slot automatik ke pusingan akhir SSPL musim ini.

Peluang dilihat memihak kepada Kelab Badminton (BC) Puchong United, Petaling BC, Ampang Jaya BC dan Kepong BC yang berada di kedudukan keempat juga mempunyai peluang.

Apapun, Petaling BC memilih laluan sukar untuk meraih slot itu selepas tewas mengejut 10-12 kepada Serdang BC dalam aksi keenam liga di Gem In Mall pada sebelah petang tadi.

Kekalahan itu menyaksikan Petaling BC wajib menang ke atas pendahulu liga ketika ini, Puchong United BC di mana kedua-dua pasukan bakal bertembung dalam aksi terakhir Ahad ini.

Ketua Jurulatih Petaling BC, Ismail Saman berkata pemainnya beraksi dalam tekanan ketika menentang lawannya tadi. Dia berkata, “Mula-mula kita sasarkan ketiga terbaik sahaja namun apabila melihat peluang cerah untuk memburu kedudukan kedua terbaik, saya menyuruh pemain memburu mata yang banyak sehingga pemain beraksi dalam tekanan.”

“Selepas ini kita akan bertemu Puchong United dan ia bukannya sesuatu yang mudah. Apapun, saya akan memberikan motivasi kepada pemain supaya kekal fokus dan mempamerkan aksi sebenar untuk menang dalam terakhir itu nanti,”kata Ismail.

Pada satu lagi aksi pada sebelah malam tadi, Kepong BC turut meneruskan pemburuan dua slot teratas. Mereka kekal di tangga keempat namun berjaya menambah kutipan kemenangan setelah menewaskan Tebrau City BC 13-7.

Lim Chi Wing mendapatkan kemenangan untuk Kepong BC setelah dia memenangi pertarungan perseorangan lelaki ketika menentang pemain Tebrau City BC, Ye Binghong 3-2 (11-4 11-8 4-11 8-11 11-4).

Kepong BC bagaimanapun gagal meneruskan dominasi dalam acara perseorangan wanita apabila pemainnya, Yeung Sum Yee kalah kepada pemain Tebrau City BC, Xu Wei 1-3 (11-6 6-11 3-11 7-11).

Dalam acara beregu lelaki, Kepong BC kembali menyinar setelah gandingan mantap dari Chinese Taipei, Lu Ching Yao- YANG Po Han menumpaskan Chung Yonny- Tam Chun Hei 3-0 (11-7 11-8 11-6) untuk mendahului kedudukan keseluruhan 7-5.

Selepas itu dalam beregu campuran pula, Cheah Yee See- Nur Mohd Azriyn Ayub berjaya mengukuhkan lagi kedudukan menjadi 10-6 buat Kepong BC selepas mereka menang 3-1 (9-11 11-2 11-9 11-10) ke atas Low Hang Yee- Pearly Tan.

Pemain negara, Soong Joo Ven melengkapkan kemenangan Kepong BC setelah dia beraksi cemerlang menewaskan pemain perseorangan lelaki Tebrau City BC, Yeoh Seng Zoe 3-1 (5-11 11-9 11-9 11-6) untuk kejayaan pasukannya malam ini.

Mengikut format SSPL, enam pasukan akan berentap dalam pusingan akhir SSPL yang akan berlangsung di Resorts World, Genting hujung bulan ini. Enam pasukan tersebut adalah dua pasukan teratas SSPL peringkat pertama dan pasukan di kedudukan ke-3 hingga ke-8 pula bakal bersaing untuk merebut baki empat lagi slot di peringkat kedua SSPL nanti.