Ampang Jaya BC Selangkah Ke Pusingan Akhir SSPL 2018/19 Hanya menunggu keputusan pertemuan dua pencabar terdekat

CYBERJAYA (5 Januari 2019): Kelab Badminton (BC) Ampang Jaya selangkah ke pusingan akhir SS Purple League (SSPL) 2018/19 setelah membenam Serdang BC 15-3 dalam perlawanan terakhir peringkat pertama di Gem In Mall, sebelah petang tadi.

Pasukan Ampang Jaya BC kini gah di puncak liga namun perlu menunggu aksi pasukan yang masih mampu mencabar dua slot teratas SSPL. Pasukan tersebut adalah Puchong United BC dan Petaling BC yang bertemu sesama sendiri esok.

Pengurus Ampang Jaya BC, Ho Khek Mong yang ditemui selepas perlawanan tadi berkata , “Sekarang kita masih berada di atas dan memiliki kelebihan namun masih bergantung kepada perlawanan penting esok antara Puchong United dan Petaling BC.”

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat dan penaja yang memberikan sokongan penuh kepada kami sehingga mencatatkan rekod bersih tanpa kalah dalam saingan peringkat pertama SSPL musim ini,”ujar Khek Mong.

Dalam perlawanan tadi, Ampang Jaya BC membuka gelanggang dengan meraih kemenangan melalui perseorangan lelaki mereka, Tan Jia Wei yang menang 3-0 (11-7, 11-9, 11-6) ke atas pemain Serdang BC, Muhd Shaqeem.

Kedudukan Ampang Jaya BC terus kukuh menjadi 6-0 setelah Goh Jin Wei yang turun dalam acara perseorangan wanita menang mudah, 3-0 (11-10, 11-6, 11-8) mengatasi pemain Serdang BC, Wei Yawen.

Selepas itu, giliran Low Juan Shen- Lukhi Apri Nugroho pula mempamerkan bisa Ampang Jaya BC dalam acara beregu lelaki. Mereka mengatasi gandingan Serdang BC, Lwi Sheng Hao- Ong Wei Khoon juga dengan 3-0 (11-7, 11-8, 11-6) menjarakkan kedudukan kepada 9-0.

Gandingan Chan Peng Soon- Shevon Lai Jemie terus meletakkan pasukan Ampang Jaya BC jauh mendahului Serdang BC. Pasangan itu mengutip mata penting apabila menang dalam aksi sengit berdepan wakil Serdang BC dari China, Guo Yuchen- Liu Lin dengan keputusan 3-2 (11-8, 8-11, 11-4, 5-11, 5-4). Mereka menang dalam 30 minit tempoh aksi untuk selesa menjarakkan kedudukan menjadi 12-2.

Lee Zii Jia menyempurnakan rekod bersih Ampang Jaya BC setelah dia mencatatkan satu lagi kemenangan dalam acara perseorangan lelaki menewaskan Wang Yihui dengan keputusan 3-1 (11-9, 5-11, 11-6, 11-10).

Dalam satu lagi perlawanan pada sebelah malam, Tebrau City BC menamatkan peringkat pertama dengan mencatatkan kemenangan ke atas Bukit Mertajam All Stars BC 12-3. Kemenangan itu membolehkan Tebrau City naik ke kedudukan kelima liga dan akan bersaing di peringkat kedua bagi melayakkan diri ke pusingan akhir SSPL.