Enam Pasukan Buat Perhitungan Di Peringkat Kedua SSPL 2018/19 Rebut Baki Empat Slot Untuk Ke Pusingan Akhir

CYBERJAYA (10 Januari 2019): Kerancakan peringkat pertama SS Purple League (SSPL) 2018/19 menyaksikan Kelab Badminton (BC) Ampang Jaya dan juara bertahan, Puchong United BC berjaya menduduki dua tangga teratas sekaligus telah meloloskan diri ke pusingan akhir di Arena Of Stars, Genting pada 24-27 Januari ini.

Apapun, nasib pasukan di kedudukan ke-3 hingga ke-8 semasa liga round robin peringkat pertama belum tamat kerana mereka kini boleh menebusnya dalam saingan peringkat kedua SSPL untuk mengisi empat lagi slot untuk mara ke peringkat kalah mati SSPL musim ini.

Para peminat yang mengikuti saingan liga badminton SSPL pastinya masih ingat bagaimana drama terakhir peringkat pertama Ahad lalu di antara Puchong United BC dan Petaling BC. Satu aksi sengit yang berakhir dengan keputusan seri 10-10 sekaligus memberikan kelebihan kepada Puchong United BC untuk mara secara automatik setelah menamatkan saingan di kedudukan kedua.

Detik itu menyaksikan Petaling BC kini terpaksa bersaing di peringkat kedua untuk merebut baki slot ke Resorts World Genting bersama lima lagi pasukan iaitu Kepong BC, Tebrau City BC, Serdang BC, Bukit Mertajam All Stars BC, dan Bandar Maharani BC.

Jika Ampang Jaya BC dan Puchong United BC sudah boleh tidur lena sambil memikirkan strategi untuk menentang lawan di separuh akhir SSPL, enam pasukan itu kini perlu berjuang habis-habisan di peringkat kedua SSPL yang akan berlangsung pada 11-13 Januari ini sekiranya mahu layak.

Setelah undian dilakukan sejurus selepas aksi pusingan pertama berakhir, Petaling BC yang terlepas genggaman slot automatik SSPL diundi bersama Bandar Maharani BC dan Serdang BC untuk misi peringkat kedua dalam Kumpulan A.

Satu lagi saingan peringkat kedua Kumpulan B menyaksikan finalis tahun lalu, Kepong BC bakal membuat perhitungan bersama-sama dua pendatang baru, Bukit Mertajam All Stars BC dan Tebrau City BC.

Keenam-enam pasukan ini akan menentang lawan dalam kumpulan masing-masing dan kutipan set kemenangan (games won) di peringkat kedua akan ditambah dengan jumlah set kemenangan yang diraih semasa peringkat pertama. Daripada itu, empat pasukan yang berjaya menempatkan diri di ranking ke-3 hingga ke-6 akan mengiringi Ampang Jaya BC dan Puchong United BC untuk beraksi di pusingan akhir SSPL.

Bagi pasukan Petaling BC yang kini membawa bekalan dengan 80 set kemenangan, mereka tetap yakin peluang untuk pasukan itu ke pusingan akhir SSPL 2018/19 adalah cerah.

Ketua Jurulatih Petaling BC, Ismail Saman berkata, “Melihat kepada undian, kami adalah pasukan pilihan dalam kumpulan A untuk mara ke peringkat seterusnya. Namun kita kena ingat, tidak boleh terlalu yakin dengan situasi ini.”

“Saya mungkin akan menggunakan peluang di peringkat kedua untuk memberikan peluang kepada pemain baru turun beraksi. Bermain di peringkat kedua juga sebenarnya adalah satu peluang untuk saya menurunkan pemain yang tidak pernah diturunkan sebagai persiapan untuk menghadapi peringkat akhir SSPL di Genting nanti,” kata Ismail.

Peringkat kedua SSPL yang berlangsung dari 11-13 Januari berjalan di venue sama iaitu di Gem In Mall, Cyberjaya manakala pusingan akhir akan berlangsung di Resorts World Genting pada 24-27 Januari 2019.