Bandar Maharani BC Belajar Daripada Pengalaman Sulung Bersaing Dalam SSPL

CYBERJAYA (12 Januari 2019): Biarpun gagal memenangi sebarang perlawanan SS Purple League (SSPL) musim ini, Kelab Badminton (BC) Bandar Maharani tidak kecewa kerana ini adalah penyertaan pertama mereka dalam liga ini.

Menamatkan sembilan perlawanan dalam peringkat pertama dan kedua SSPL, Bandar Maharani BC gagal ke pusingan akhir. Dalam aksi terakhir mereka di Gem In Mall untuk peringkat kedua Kumpulan A tadi, Bandar Maharani BC tumpas 6-12 kepada Petaling BC.

Ketua jurulatih Bandar Maharani BC, Yap Kim Heng berkata, “Saya banyak belajar daripada SS Purple League memandangkan ini penyertaan pertama kami di peringkat senior.”

“Saya mempunyai persiapan singkat untuk SSPL musim ini. Jadi ianya adalah satu ujian yang mencabar. Apapun saya tetap positif kerana pemain juga telah memberikan aksi terbaik dan satu pendedahan buat pemain saya yang rata-ratanya masih muda. Untuk musim depan, kami akan melakukan persiapan yang lebih rapi dan sasaran lebih jauh,”kata Kim Heng.

Dalam aksi perseorangan lelaki tadi, Ooi Jhy Dar kalah 0-3 (8-11, 8-11, 4-11) kepada pemain Petaling BC, Chong Yee Han. Bandar Maharani terus kecewa apabila pemainnya, Yap Yee turut tewas 0-3 (7-11, 3-11, 9-11) kepada Lim Yin Fun bagi acara perseorangan wanita.             

Bandar Maharani BC memberi cabaran dalam acara beregu lelaki selepas itu melalui gandingan Razlan Shah- Yap Roy King. Walau bagaimanapun mereka tewas tipis 2-3 (11-7, 11-10, 3-11, 3-11, 3-11) kepada gandingan Petaling BC, Man Wei Chong- Shia Chun Kang.

Dalam acara beregu campuran, Bandar Maharani BC mendapat kemenangan percuma 3-0 apabila Petaling BC gagal menurunkan pemain mereka. Apapun, Bandar Maharani BC sekali lagi tumpas dalam perseorangan lelaki di mana Lim Chong Kim kalah kepada Iskandar Zulkarnain 1-3 (8-11, 10-11, 11-9, 7-11) sekaligus menamatkan musim ini dengan kemarau kemenangan.

Pada sebelah petang tadi, Tebrau City BC mengesahkan kedudukan dalam kelompok enam teratas untuk mara ke pusingan akhir SSPL. Mereka mara setelah menumpaskan Bukit Mertajam All Stars BC (BMASBC) 15-4 tadi dan satu lagi kemenangan diraih ke atas Kepong BC 12-6 semalam.

Di peringkat kedua SSPL, Petaling BC diundi bersama Bandar Maharani BC dan Serdang BC dalam Kumpulan A. Dalam Kumpulan B pula menyaksikan finalis tahun lalu, Kepong BC bakal membuat perhitungan bersama-sama dua pendatang baru, Bukit Mertajam All Stars BC dan Tebrau City BC.

Keenam-enam pasukan di peringkat kedua SSPL akan menentang lawan dalam kumpulan masing-masing dan kutipan set kemenangan (games won) di peringkat kedua akan ditambah dengan jumlah set kemenangan yang diraih semasa peringkat pertama. Daripada itu, empat pasukan yang berjaya menempatkan diri di ranking ke-3 hingga ke-6 akan mengiringi Ampang Jaya BC dan Puchong United BC untuk beraksi di pusingan akhir SSPL.