Empat Pasukan Lengkapkan Slot ke Pusingan Akhir SSPL

CYBERJAYA (13 Januari 2019): Selepas Kelab Badminton (BC) Ampang Jaya dan Puchong United BC sudah menempah tiket ke pusingan akhir SS Purple League (SSPL) 2018/19, empat lagi pasukan berjaya mengesahkan slot menerusi aksi peringkat kedua yang berakhir di Gem In Mall sebentar tadi.

Empat pasukan itu adalah Petaling BC, Kepong BC, Tebrau City BC dan juga Serdang BC. Dua lagi pasukan yang gagal meneruskan kemaraan setelah menamatkan kedudukan di tangga terbawah liga adalah Bukit Mertajam All Stars BC dan Bandar Maharani BC

Dalam aksi sebelah malam tadi, Petaling BC yang turun dalam perlawanan terakhir Kumpulan A melengkapkan peringkat kedua dengan kemenangan 13-7 ke atas Serdang BC.

Mereka berjaya menang di awal aksi melalui pemain perseorangan lelaki, Chong Yee Han yang mengenepikan pemain muda Serdang BC, Muhd Shaqeem Eiman 3-2 (11-4 3-11 11-9 7-11 8-6).

Lim Yin Fun yang turun mewakili Petaling BC gagal menjarakkan kedudukan dalam acara perseorangan wanita setelah sekadar seri 2-2 (11-5 8-11 8-11 5-4) dalam tempoh 30 minit menentang Lyanny Alessandra Mainaky.

Gandingan Man Wei Chong- Shia Chun Kang memantapkan lagi kedudukan Petaling BC kepada 8-4 setelah mereka menumpaskan gandingan Serdang BC, Lwi Sheng Hao- Ong Wei Khoon 3-0 (11-5, 11-8, 11-7).

Apapun Petaling BC tewas dalam acara beregu campuran. Gandingan Cheam June Wei- Gronya Somerville tewas 2-3 (5-11 11-10 5-11 11-10 7-11) kepada Liu Lin- Yap Qar Siong namun Petaling BC masih mendahului kedudukan 10-7.

Iskandar Zulkarnain selaku perseorangan utama lelaki Petaling BC menyempurnakan kemenangan Petaling BC apabila menewaskan Ng Tze Yong 3-0 (11-4 11-8 11-9).

Ketua Jurulatih Petaling BC, Ismail Saman berkata, “Dari peringkat pertama sehingga peringkat kedua, pemain mempamerkan momentum yang baik dan sentiasa bersemangat dalam memburu kemenangan.”

“Saya dalam perancangan untuk memperkuatkan lagi pasukan menjelang pusingan akhir SSPL memandangkan jendela perpindahan kini dibuka semula. Kita sedang mengenalpasti pemain mana akan kekal atau ditukar dengan pemain baru,”kata Ismail.

Selepas keenam-enam pasukan menamatkan saingan peringkat kedua, kutipan set kemenangan (games won) yang berjaya dicapai akan ditambah dengan jumlah set kemenangan yang diraih semasa peringkat pertama.

Daripada itu, empat pasukan yang berjaya menempatkan diri di ranking ke-3 hingga ke-6 mengiringi Ampang Jaya BC dan Puchong United BC untuk beraksi di pusingan akhir SSPL.