Kepong BC dan Puchong United BC Buat Perhitungan Dalam Final SSPL 2018/19 Ulangi nostalgia perlawanan akhir SSPL musim lalu

GENTING HIGHLANDS (25 Januari 2019): Kelab Badminton (BC) Puchong United dan Kepong BC mengulangi nostalgia final SS Purple League (SSPL) musim lalu apabila masing-masing mara sekali lagi ke pentas final SSPL 2018/19 di Arena Of Stars, Resorts World Genting tadi.

Puchong United yang merupakan juara bertahan SSPL mara setelah menyingkirkan Petaling BC dengan keputusan 10-7 manakala Kepong BC pula menang 12-8 ke atas Ampang Jaya BC dalam satu lagi separuh akhir pada petang tadi.

Pengurus Puchong United BC, Irina Inozemtseva berkata, “Sejujurnya inilah adalah separuh akhir SSPL yang paling sengit buat kami sepanjang beraksi dalam Purple League. Ini berlaku apabila kita dapat lihat Liew Daren yang mengalami kecederaan dan dia tewas, kekalahan Liew Daren menyebabkan pemain lain turut terkena tempias,”katanya.

Mengulas mengenai pertemuan dengan Kepong BC di final nanti, Irina berkata, “Kami sentiasa sukakan drama namun dalam setiap perlawanan kami menang. Saya teruja untuk menentang Kepong BC dalam final untuk melihat sejauh mana cabaran mereka.”

“Kepong BC selalu mengatakan mereka underdog namun tiap-tiap kali bertemu, mereka akan memberi tentangan habis-habisan. Jadi kita perlu lebih mantap untuk mengelakkan Kepong BC merampas kejuaraan daripada Puchong United,” ujar Irina.

Puchong United bermula dengan agak perlahan apabila pemain perseorangan lelakinya, Liew Daren yang masih dibelenggu kecederaan tewas 1-3 (5-11, 11-10, 5-11, 10-11) kepada pemain Petaling BC, Jan O’ Jorgensen.

Mereka sekali lagi menerima tamparan apabila pemain perseorangan wanitanya, Deng Xuan pula tewas tipis 2-3 (11-7, 5-11, 11-7, 10-11, 3-2) dalam aksi permainan 30 minit kepada Yip Pui Yin. Keputusan itu menyebabkan Puchong United ketinggalan 3-6 kepada Petaling BC.

Kebangkitan Puchong United dimulakan dengan beregu lelaki apabila gandingan mantap pemain mereka, Kim Sa Rang- Tan Boon Heong membenam cabaran Man Wei Chong- Shia Chun Kang 3-0 (11-10, 11-8, 11-10). Kemenangan itu menjadikan kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 6-6.

Dalam acara beregu campuran, Puchong United BC terus mengganas. Kali ini giliran Eom Hyewon- Mak Hee Chun pula menumpaskan Chen Tang Jie- Peck Yen Wei 3-0 (11-7, 11-6, 11-6) menjadikan mereka mendahului kedudukan 9-6.

Lee Cheuk Yiu yang turun dalam satu lagi aksi perseorangan lelaki selepas itu hanya memerlukan satu set untuk membawa Puchong United ke perlawanan akhir. Aksinya tidak mengecewakan apabila berjaya mencuri set penting itu dengan keputusan 1-1 (9-11, 11-8) bertemu Cheam June Wei sekaligus membawa Puchong United mara ke perlawanan akhir.

Pada sebelah petang tadi, Kepong BC yang juga naib juara musim lalu turut mengulangi pencapaian mara ke pentas final apabila mengejutkan pasukan pilihan, Ampang Jaya BC di separuh akhir.

Dalam aksi itu, Kepong BC yang dibimbing Mohd Zakry Abdul Latif membuat kejutan besar dengan menewaskan Ampang Jaya BC 12-8. Lebih perit buat Ampang Jaya BC, itu merupakan kekalahan pertama mereka musim ini yang juga sekaligus meranapkan impian untuk ke pentas akhir biarpun cemerlang dalam pusingan pertama SSPL sebelum ini.