Bandar Maharani BC Lega Catat Kemenangan Pertama

KUALA LUMPUR (14 Oktober 2018): Kelab Badminton (BC) Bandar Maharani yang menghuni kedudukan ketiga Divisyen Satu saingan Purple League Junior (PLJ) musim lalu lega setelah mencatatkan kemenangan sulung mengatasi Bukit Cheras BC di Desa Petaling Sports Centre tadi.

Selepas hanya seri 10-10 dengan Kepong BC semalam, Bandar Maharani BC mempamerkan aksi kurang konsisten namun jurulatihnya, Yap Kim Heng tetap lega dengan kemenangan 10-9 ke atas Bukit Cheras BC hari ini.

Jurulatih Bandar Maharani BC, Yap Kim Heng berkata, “Kami mensasarkan untuk mendapatkan kedudukan ketiga terbaik sama seperti musim lalu. Saingan musim ini agak sengit dengan pasukan-pasukan menurunkan pemain muda terbaik mereka. Apapun bagi saya, saingan masih awal.

“Dengan satu seri dan satu kemenangan setakat ini, bagi saya pasukan kita masih berada dalam landasan. Saingan minggu pertama agak sengit untuk pasukan saya, apapun saya yakin pasukan akan bertambah kuat dengan kembalinya pemain utama, Muhd Fazriq Bin Razif selepas ini,”katanya.

“Paling penting, saya harapkan pemain-pemain muda pasukan ini boleh belajar daripada rakan-rakan import bagaimana untuk menjadi pemain profesional kelak,” tambah Kim Heng.

Dalam perlawanan tadi, pemain perseorangan lelaki Bandar Maharani BC, Lim Chong King menang 3-0 (11-6, 11-6, 11-10) mengatasi Low Eu Cong.

Selepas itu dalam beregu perempuan, gandingan Bandar Maharani BC, Ajjima Thongchai- Yamolphat Thanesanukul tewas 2-3 (5-11, 6-11, 11-9, 11-7, 10-11) kepada Joanne Ng May Yin- Toh Ee Wei.

Bagaimanapun, mereka kembali bangkit dalam acara beregu campuran menerusi Kim Jing Ning- Yap Roy King yang menang bersih 3-0 (11-3, 11-6, 11-6) kepada Shaun Wong Yau- Ting Ee Chin.

Pemain perseorangan perempuan Bandar Maharani BC, Piramon Chamnaktan bagaimanapun tewas 2-3 (11-5, 11-9, 2-11, 9-11, 10-11) kepada Syalsabila Vahira.

Acara beregu lelaki menyaksikan Lee Yi Bo- Shyu Hao Zhe juga tewas 0-3 (8-11, 10-11, 9-11) kepada Chua Yue Chern- Lim Tze Jian. Apapun ia tidak menghalang Bandar Maharani BC untuk mengecapi kemenangan pertama dalam saingan kali ini apabila kutipan mata keseluruhan memihak mereka.

Tiga lagi aksi dalam Divisyen Satu memperlihatkan juara bertahan, Cheras BC tewas 8-9 kepada Puchong United BC, Petaling BC dikecewakan Kepong BC 7-13 dan Ampang Jaya BC menang besar12-3 menewaskan Puchong United BC.               

Saingan Divisyen Dua yang berlangsung tengah hari tadi pula Amanjaya BC unggul selepas memperoleh kemenangan ketiga berturut-turut dengan mengatasi Serdang BC 13-6. Ayer Itam BC, Desa Petaling BC, Georgetown BC dan Kuantan Synergy turut menang ke atas lawan masing-masing.

Sementara dalam saingan sebelah petang tadi, Bukit Cheras BC membuktikan kemampuan mereka biarpun baru dinaikkan dari Divisyen Dua ia bukan penghalang untuk bersaing dengan pasukan-pasukan kuat dalam liga utama PJL.

Sebentar tadi, mereka mengutip kemenangan kedua setelah menang menewaskan juara dua kali PLJ, Petaling BC dengan keputusan 13-3.

Jurulatihnya, Ong Khei Woon berkata, “Kita ada juga melakukan pertukaran pemain apabila berjaya naik ke Divisyen Satu. Kombinasi 50-50 muka lama dan muka baru membarisi Bukit Cheras musim ini.”

“Selepas mengharungi tiga perlawanan, kita perlu kekal fokus dan memberikan sehabis baik. Kita menang dua perlawanan dan tewas sekali setakat ini. Kita akan meneruskan momentum dan mengharapkan Bukit Cheras BC akan mencipta kejutan musim ini,”katanya selepas tamat aksi petang tadi.