PLJ2018: Toh Ee Wei Sedia Gegar Kejohanan Remaja Dunia

KUALA LUMPUR (19 Oktober 2018): Pemain badminton remaja negara, Toh Ee Wei berhasrat bagi menjadikan Kejohanan Remaja Dunia yang akan berlangsung di Markham, Kanada awal November depan sebagai platform untuknya menyinar di pentas lebih tinggi.

Tampil beraksi dalam dua acara berbeza untuk pasukan negara ketika dua edisi lepas, Ee Wei, 18, sekali lagi sudah bersedia mempamerkan permainanya sama ada acara beregu perempuan atau beregu campuran.

Bergandingan dengan Chen Tang Jie dalam acara beregu campuran, mereka berjaya membawa pulang pingat gangsa semasa penyertaan pertamanya pada tahun 2016. Apapun, pada tahun lalu di Kejohanan Badminton Remaja Dunia yang berlangsung di Jakarta, Indonesia, Ee Wei sekadar mengakhiri saingan di suku akhir ketika bergandingan dengan Eng Cheong Ng.

Pada kali ini, aksi pemain ini mungkin lebih bersinar kerana gandingannya dengan Pearly Tan Kong Le dalam acara beregu perempuan tampak menyakinkan. Ia dibuktikan dengan kejayaan mereka memenangi Kejuaraan Remaja Antarabangsa Malaysia yang didadakan di Perlis, Ogos lalu. Mereka menewaskan gandingan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma- Ribka Sugiarto di pentas akhir.

Lebih manis, kemenangan diraih dengan menewaskan pasangan sama yang menafikan pingat emas mereka sebelum ini di Kejohanan Remaja Asia di Jakarta.

Namun, bukalah satu kejutan jika Ee Wei akan memberisi acara beregu campuran kerana semua keputusan terletak di tangan jurulatih, Kwan Yoke Meng.

“Tahun ini saya lebih menfokuskan gandingan saya dengan Pearly dalam beregu perempuan namun saya tidak pasti sekiranya jurulatih mahu meletakkan saya bermain untuk acara beregu campuran. Target saya adalah untuk menang pingat dalam penampilan terakhir saya.

“Saya telah memenangi beberapa gelaran tahun ini termasuklah dalam acara perseorangan perempuan dan saya mahu meneruskan gandingan dengan Pearly untuk beberapa tahun lagi,” kata Ee Wei yang membantu Melaka memenangi dua pingat emas dalam acara perseorangan perempuan dan beregu campuran semasa Sukan Malaysia (SUKMA) baru-baru ini.

Sebelum berangkat ke Kanada bulan depan, Ee Wei berkesempatan untuk membantu pasukannya, Kelab Badminton (BC) Bukit Cheras berada di puncak saingan Purple League Junior (PLJ) 2018 ketika ini.

Bergandingan dengan Joanne Ng May Yin dalam beregu perempuan, dia berjaya menghadiahkan tiga pungutan mata buat Bukit Cheras BC menerusi kemenangan 3-2 (11-5, 11-6, 9-11, 7-11, 11-10) ke atas pasangan Bandar Maharani BC dari Thailand, Ajjima Tongchai-Yamolphat Thanesanukul.

Apapun, kemenangannya gagal diteruskan ketika pasukannya menang 13-3 mengatasi Petaling BC yang juga juara dua kali kejohanan. Dia yang bermain dalam acara beregu campuran berpasangan dengan Muhd Ariff Asaari tewas 1-3 (9-11, 4-11, 11-7, 6-11) kepada gandingan Malaysia- Thailand, Chasinee Korepap- Choong Hon Jian.

Mengakui dia tidak berada pada prestasi sebenar dalam saingan PLJ minggu lalu, Ee Wei berjanji akan kembali memberikan aksi terbaik pada saingan PLJ seterusnya (27-28 Oktober) depan di Sports Arena Puchong sebelum terbang ke Kanada.

“Saya tidak beraksi dengan baik pada minggu pertama PLJ. Mungkin kerana fokus saya sekarang sudah memikirkan mengenai Kejohanan Remaja Dunia.”

“Apapun, saya akan memberikan aksi yang lebih baik minggu depan dalam PLJ untuk mengutip mata buat pasukan sebelum saya berlepas untuk saingan remaja dunia,”ujarnya.