Bukit Cheras BC Mahu Kekal Prestasi

KUALA LUMPUR (25 Oktober 2018): Kelab Badminton (BC) Bukit Cheras yang baru “naik pangkat” dari Divisyen Dua Purple League Junior (PLJ) musim ini membuktikan kehadiran mereka dalam saingan utama ini bukan sekadar pelengkap jadual.

Mereka yang bergelar juara Divisyen Dua musim lalu bermula garang pada minggu pertama saingan PLJ apabila berada di kedudukan teratas selepas tamat tiga perlawanan.

Bukit Cheras BC membuka tirai PLJ dengan menundukkan Petaling Jaya BC 15-4, tewas tipis 9-10 kepada Bandar Maharani BC sebelum mengejutkan juara dua kali liga, Petaling BC dengan keputusan 13-3 pada aksi minggu pertama.

Menjelang saingan minggu kedua PLJ yang akan berentap semula pada hujung minggu ini, Bukit Cheras BC berazam untuk mengekalkan momentum terbaik mereka.

Jurulatihnya, Ong Khei Woon berkata, “Saya akui cabaran bermain dalam Divisyen Dua dan kali ini beraksi dalam Divisyen Satu ada perbezaannya. Untuk bersaing dengan pasukan-pasukan dalam Divisyen Satu, kita perlu mempersiapkan pasukan dengan lebih teliti. Tambahan pula, kami adalah pendatang baru dan pasukan lain sudah lama beraksi di divisyen tersebut.”

“Dari segi pemain kita musim ini, memang ada juga melakukan pertukaran. Boleh dikatakan kombinasi 50-50 muka lama dan muka baru membarisi Bukit Cheras BC musim ini.”katanya.

Biarpun bermula dengan baik dalam saingan PLJ, Khei Woon tidak mahu anak buahnya berasa selesa tetapi menuntut mereka mengekalkan prestasi bagi terus melakukan kejutan.

Dia berkata, “Selepas mengharungi tiga perlawanan, saya harap kita akan kekal fokus dan memberikan sehabis baik. Kita menang dua perlawanan dan tewas sekali setakat ini. Kita perlu meneruskan momentum dan mengharapkan Bukit Cheras BC akan mencipta kejutan musim ini.”

“Kita akan bertemu dengan semua pemain untuk membincangkan siapa diturunkan nanti. Sudah menjadi perkara biasa kelab ini untuk berbincang dengan pemain dari pelbagai aspek seperti kecergasan, prestasi semasa dan sebagainya sebelum membuat keputusan untuk menurunkan skuad terbaik,” katanya selepas aksi terakhir minggu pertama Ahad lalu.

Tamat aksi minggu pertama, Bukit Cheras BC unggul di persada PLJ dengan mengutip 37 set kemenangan, diikuti Ampang Jaya BC di tempat kedua dan Kepong BC di kedudukan ketiga liga.

Selepas aksi di Desa Petaling Sports Complex, PLJ 2018 akan diteruskan di Sports Arena Puchong untuk minggu kedua (27 dan 28 Oktober) dan minggu terakhir di The Challenger Sports Centre Ampang (3 dan 4 November).

Antara pemain yang membarisi Bukit Cheras BC adalah Toh Ee Wei, Chua Yue Chern, Joanne Ng May Yin, Muhammad Ariff Asaari dan ramai lagi pemain muda berbakat besar.