PLJ 2018: Perebutan Takhta Divisyen Satu PLJ Semakin Rancak

KUALA LUMPUR (27 Oktober 2018): Kemenangan besar Kelab Badminton (BC) Ampang Jaya yang membenam cabaran Petaling BC dengan keputusan 15-2 membolehkan pasukan kendalian Ho Khek Mong semakin mendekati pendahulu liga Purple League Junior (PLJ), Bukit Cheras BC di Sports Arena, Puchong hari ini.

Memasuki pertengahan liga, pendahulu, Bukit Cheras BC kini mengumpul 51 mata dan Ampang Jaya BC di kedudukan kedua dengan 50 mata diikuti Bandar Maharani BC di tempat ketiga dengan 41 mata selepas masing-masing menamatkan aksi keempat mereka tadi.

Jurulatih Ampang Jaya BC, Ho Khek Mong berkata, “Cuti PLJ sebelum ini memberikan ruang kepada kami untuk membetulkan pasukan. Kemenangan dengan jurang besar 15-2 hari ini sangat memuaskan hati saya kerana kami semakin menghampiri pendahulu, Bukit Cheras BC.”

“Untuk esok, dua-dua perlawanan agak sengit untuk kami. Kami akan bermain dengan Rawang BC di sebelah pagi dan satu lagi aksi menentang Kepong BC di sebelah petang. Saya harap pasukan akan menang dengan jurang mata yang besar untuk terus memintas kedudukan pasukan teratas PLJ,”kata Khek Mong selepas aksi pasukannya tadi.

Ampang Jaya BC membuka tirai kemenangan menerusi pemain perseorangan lelaki mereka, Ng Tze Yong yang menang menang 3-0 (11-6, 11-7, 11-7) mengatasi Par Tien Ann.

Pasangan beregu wanita Ampang Jaya BC, Goh Yi Xuan- Ng Wan Win terus mengukuhkan kemenangan pasukan itu apabila mereka meraih kemenangan 3-1 (11-3, 11-7, 7-11, 11-5) ke atas gandingan Petaling BC, Dylyvya Saha Davincy- Erika Vallensia.

Gandingan Chia Wei Jie- Ho Lo Ee yang turun dalam acara beregu campuran terus menambah luka buat pasukan Petaling BC. Mereka menang 3-0 (11-5, 11-8, 11-5) mengecewakan Choong Hon Jian- Dyvylyn Saha Davincy untuk Ampang Jaya BC terus selesa.

Dalam acara perseorangan perempuan pula, pemain Ampang Jaya BC berasal dari China, Chen Lu juga turut menang mudah 3-1 (9-11, 11-5, 11-5, 11-10) menewaskan Myisha Khairul untuk kedudukan keseluruhan menjadi 12-2.

Kemenangan mutlak Ampang Jaya BC disempurnakan oleh beregu lelaki mereka, Fatkhul Rozzi- Liu Zeqing yang mengalahkan gandingan Petaling BC, Mohd Hafiz Mohd Sikkander- Yeong Wai Ken 3-0 (11-3, 11-8, 11-6).

Dalam saingan Divisyen Dua PLJ di sebelah petang, Amanjaya BC mengukuhkan cengkaman di persada liga apabila menundukkan pencabar terdekat, Kuantan Synergy BC 13-7.

Mengulas prestasi cemerlang pasukannya,Ketua Jurulatih Amanjaya BC, Chin Chee Hiong berkata, “Secara keseluruhan, semua pemain menunjukkan aksi yang sangat bagus. Mereka menunjukkan disiplin yang baaik, semangat juang yang tinggi dan komitmen sepenuhnya.

“Sekiranya fokus mereka serta prestasi seperti ini dapat dikekalkan, tidak mustahil untuk kami melangkah ke Divisyen Satu PLJ musim depan. Esok kita akan menentang Georgetown BC, mungkin tidak ada masalah untuk mengatasi mereka,”kata Chin Chee Hiong.

Sebelum itu, saingan Divisyen Dua PLJ yang berlangsung di sebelah pagi tadi menyaksikan pendatang baru liga, Kuantan Synergy BC menang besar 15-4 mengatasi Georgetown BC.

Dalam empat lagi perlawanan Divisyen Dua PLJ pagi tadi, Klang Rising BC tumpas 7-11 kepada Ayer Itam BC, PGBC menang 11-7 ke atas Desa Petaling BC, Tebrau City kalah 8-13 kepada Amanjaya BC, dan Serdang BC menang 10-9 menewaskan Ipoh BC.