Purple League Junior 2018 Menuju Saingan Minggu Terakhir

KUALA LUMPUR (1 November 2018): Selain pendedahan serta aksi liga yang kompetitif untuk pemain badminton remaja, debaran bagi menanti kelab mana bakal mendominasi saingan Purple League Junior (PLJ) 2018 juga menarik untuk disaksikan pada minggu terakhir saingan itu pada hari Sabtu dan Ahad ini di Challenger Sports Centre Ampang.

Dengan semua pasukan akan mengharungi lapan aksi secara keseluruhan untuk Divisyen Satu PLJ, Kelab Badminton (BC) Ampang Jaya sedang mendahului carta dikuti Bukit Cheras BC yang mengutip di tangga kedua dan Bandar Maharani BC di kedudukan ketiga ketika ini.

Bagaimanapun, Kelab Badminton (BC) Ampang Jaya yang sedang mendahului carta dilihat mempunyai kelebihan kerana mereka bakal beraksi di gelanggang sendiri sebagai tuan rumah untuk saingan minggu terakhir PLJ hujung minggu ini.

Jurulatih Ampang Jaya BC, Ho Khek Mong berkata dia tidak mahu anak buahnya berasa tertekan kerana mereka sedang mendahului liga ketika ini.

Khek Mong berkata, “Kita sekarang sudah mendahului PLJ, saya rasa pasukan yang sedang cuba mengejar kita akan lebih tertekan di minggu terakhir saingan. Sebagai pendahulu liga, saya sudah memberitahu pemain supaya kita hanya perlu bertahan supaya dapat mengumpulkan mata dan mengelak daripada kalah dengan jurang besar.”

“Sama seperti aksi terakhir minggu kedua bertemu Kepong BC, kami berjaya bertahan dan mendapat 9 mata kemenangan selepas seri 9-9 dengan mereka dalam satu perlawanan yang sengit,”katanya.

Mengulas mengenai dua aksi terakhir yang bakal ditempuhi Ampang Jaya BC nanti, jurulatih itu berkata, “Bukan tugas mudah untuk kami dalam saingan minggu terakhir nanti kerana kita akan berdepan Bukit Cheras BC dan Cheras BC selaku bekas juara PLJ. Bukit Cheras BC adalah pasukan yang sedang mengikuti kami di puncak liga sekarang, jadi mereka mesti mahukan banyak mata kemenangan daripada kami.

“Saya percaya, semua pemain Ampang Jaya BC sudah bersedia untuk menentang lawan mereka di minggu terakhir nanti, saya tidak mahu mereka tertekan. Tambahan pula kita akan bermain di gelanggang sendiri pada Sabtu dan Ahad ini selaku tuan rumah, itu juga satu pastinya akan menjadi satu kelebihan untuk pasukan kami mempertahankan kedudukan,”ujar Khek Mong.

Dalam pada itu, saingan Divisyen Dua PLJ yang juga menuju aksi-aksi terkahir hujung minggu ini di venue sama bakal menyaksikan persaingan rancak bagi memburu kejuaraan sekaligus layak ke Divisyen Satu musim hadapan.

Amanjaya Jaya BC sedang mendahului Divisyen Dua PLJ selepas enam perlawanan dan mereka adalah satu-satunya pasukan yang belum tewas. Di kedudukan kedua adalah Kuantan Synergy BC dan Ayer Itam BC di kedudukan ketiga selepas enam aksi.

Kesemua pasukan Divisyen Dua PLJ akan mengharungi tiga lagi perlawanan sebelum menentukan siapa bakal menjadi juara musim ini.

Untuk rekod, sejak liga ini dimulakan pada tahun 2015, Petaling BC menjadi juara sulung edisi tersebut. Petaling BC meneruskan penguasaan dengan turut menjadi juara pada tahun 2016 sebelum Cheras BC memecah dominasi apabila meraih kejuaraan PLJ pada tahun lepas.

Sejak dimulakan pada 13 Oktober lalu, baki perlawanan pada minggu terakhir liga pada 3 dan 4 November di The Challenger Sports Centre Ampang akan menentukan pasukan mana bakal bergelar juara liga badminton remaja ini.