Kehadiran Pemain Ternama Dunia Bakal Hangatkan Saingan SS Purple League 2018/19

KUALA LUMPUR (18 Disember 2018): Menjelang saingan SS Purple League 2018/19 yang akan bermula beberapa hari sahaja lagi, barisan pemain serta pengurus pasukan yang bakal membawa cabaran dalam saingan SSPL hadir ke sidang media di Quill City Mall hari ini.

Selain Sidang Media Bersama Pasukan-Pasukan SSPL 2018/19, turut berlangsung di lokasi sama adalah majlis pelancaran studio baru Aforadio.com serta pengumuman mereka sebagai rakan rasmi radio atas talian Malaysia Purple League.

Untuk itu, Aforadio.com akan merancakkan lagi SSPL dengan membawakan info-info menarik sepanjang saingan berlangsung kepada peminat melalui platform radio atas talian.

SSPL musim baru yang akan membuka tirainya pada 21 Disember ini di Gem In Mall, Cyberjaya, menyaksikan penyertaan nama-nama besar arena badminton menyertai kelab bertanding. Situasi positif ini dilihat akan terus merancakkan saingan semua kelab bagi memburu gelaran musim ini.

Antara kemasukan pemain yang mendapat tumpuan dalam SSPL kali ini adalah penampilan juara dunia yang juga pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia, Kento Momota dari Jepun yang akan beraksi bersama Kelab Badminton (BC) Ampang Jaya.

Sejak dimulakan pada tahun 2014, SSPL memiliki reputasi dalam membantu membangunkan pemain muda berbakat dan sebagai satu platform bagi bintang meningkat naik meraih pengalaman tidak ternilai melawan pemain-pemain badminton terbaik dunia.

Pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Purple League, Dato’ Jack Koh berkata beliau gembira dengan kehadiran semula Kento Momota dalam SS Purple League.

“Bintang meningkat naik akan berpeluang bermain dengan kelompok 32 pemain terbaik dunia. Ketika Kento Momota bermain dalam musim awal Purple League, rankingnya ketika itu belum mencapai kedudukan 100 terbaik dunia.

“Dia berpeluang untuk bertemu dan bermain dengan pemain bintang seperti Lee Chong Wei, sesuatu pengalaman yang pastinya tidak akan diperoleh di kejohanan lain berdasarkan rankingnya ketika itu,”kata Jack Koh.

“Saya rasa, perkara paling penting adalah platform, iaitu di mana sebagai penganjur, kami mampu untuk menyediakan pentas sebegini untuk pemain.”

“Kita akan membuatkan liga ini akan terus meningkat naik dan mencapai standard tertinggi. Ini akan menarik pemain-pemain terbaik dunia untuk terus menyertai saingan Purple League,” tambah Jack Koh.

Selain Momota, antara pemain ternama yang akan membawa cabaran Ampang Jaya adalah Bryce Leverdez (Perancis), Chan Peng Soon, Lee Zii Jia, Goh Jin Wei, Shevon Lai Jemie (Malaysia) dan banyak lagi.

Antara pemain ternama yang bakal beraksi bersama pasukan masing-masing dalam saingan SS Purple League nanti adalah seperti Goh Liu Ying, Liew Daren, Ong Yew Sin, Teo Ee Yi dan Tan Chun Man (Hong Kong). Mereka akan beraksi bersama Puchong United BC.

Pemain kebangsaan, Lee Ying Ying , pemain Indonesia, Rusydina Antardayu, pemain dari Thailand, Boonsak Ponsana akan bermain untuk Terbrau City BC. Pemain muda meningkat naik, Leong Jun Hao (Serdang BC), Goh V Shem, Iskandar Zulkarnain, Gronya Somerville (Petaling BC), Dey Subhankar, Lu Ching Yao, Yang Po Han (Kepong BC), dan Lee Meng Yean (Bandar Maharani BC) turut memperkuatkan pasukan masing-masing.

Dalam pada itu, Pengurus Puchong United BC yang juga merupakan juara SSPL musim lalu, Irina Inozemtseva berkata, “Ianya adalah sesuatu yang sukar untuk mempertahankan gelaran. Kita boleh lihat pasukan lain membuat persiapan rapi dengan membawa masuk pemain-pemain hebat memperkuatkan pasukan masing-masing. Apapun bagi kami di Puchong United BC, kami tidak gentar dan akan terus berjuang hingga ke akhir.

“Dengan Puchong United BC juga memiliki pemain-pemain seperti Goh Liu Ying, Liew Daren, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan banyak pemain hebat lain dalam pasukan ini, ditambah dengan strategi yang betul, kami berharap kami dapat meneruskan aksi dengan sempurna. Kita akan menjadi lebih hebat selepas ini,”katanya.

SSPL 2018/19 yang akan berlangsung dalam format round robin dan playoff akan memulakan peringkat pertama iaitu pada 21-24 Disember, 26-30 Disember, dan 2-6 Januari 2019. Peringkat kedua pula adalah pada 11-13 Januari di venue sama iaitu di Gem In Mall, Cyberjaya manakala pusingan akhir akan berlangsung di Resorts World Genting pada 24-27 Januari 2019.

Kesemua pasukan akan bersaing bagi merebut wang tunai keseluruhan musim ini yang dianggarkan bernilai RM1, 500, 000.

Tiket untuk menyaksikan perlawanan SS Purple League boleh didapati menerusi laman sesawang rasmi https://www.purpleleague.com/ dengan harga RM15 sahaja untuk orang dewasa dan RM9 untuk kanak-kanak berusia bawah 12 tahun. Pas bermusim juga boleh didapati pada harga RM199 (untuk semua aksi di Kuala Lumpur) bagi menyaksikan SSPL 2018/19.