SS Purple League Buka Gelanggang, Ampang Jaya BC Mula Langkah Kanan

CYBERJAYA (21 Disember 2018): Kelab Badminton (BC) Ampang Jaya memulakan tirai saingan SS Purple League (SSPL) 2018/19 dengan langkah kanan apabila berjaya menang tipis 10-9 mengatasi Petaling BC dalam aksi sengit di Gem In Mall, Cyberjaya sebentar tadi.

Ampang Jaya BC memulakan gelanggang dengan kemenangan pertama diperoleh melalui acara perseorangan lelaki apabila pemainnya, Tan Jian Wei menang 3-1 (11-9, 9-11, 11-8, 8-6) ke atas wakil Petaling BC, Cheam June Wei dalam tempoh perlawanan 30 minit.

Juara Remaja Dunia, Goh Jin Wei yang beraksi untuk Ampang Jaya BC kemudian mengukuhkan cengkaman pasukannya apabila turut meraih kemenangan dalam acara perseorangan wanita. Dia menang 3-0 (11-8, 11-3, 11-7) ke atas pemain Petaling BC, Lim Yim Fun.

Petaling BC bagaimanapun bangkit dalam acara beregu lelaki. Gandingan Aaron Chia- Man Wei Chong berjaya mengatasi gandingan Ampang Jaya BC, Lim Tze Jian- Low Juan Shen 3-0 (11-4, 11-6, 11-3) merapatkan kedudukan mata kepada 4-6.

Gandingan beregu campuran Petaling BC, Gronya Somerville- Terry Hee Yong Kai terus mengejar rapat kedudukan setelah mereka menang 3-2 (7-11, 11-9, 11-9, 8-11, 10-6) mengatasi pasangan Ampang Jaya BC, Lukhi Apri Nugroho- Masita Mahmudin. Kemenangan itu menjadikan keputusan Petaling BC mengejar 7-8.

Satu lagi acara perseorangan lelaki selepas itu menyaksikan pertarungan sengit kerana hanya kemenangan akan mengesahkan kebangkitan Petaling BC.

Apapun pemain Ampang Jaya BC, Hsueh Hsuan Yi tidak memberi laluan mudah apabila mengikat pemain Petaling BC, Iskandar Zulkarnain dengan keputusan 2-2 (5-11, 11-9, 8-11, 9-5) dalam 30 minit tempoh aksi. Keputusan seri itu sekaligus menghadiahkan kemenangan sulung buat Ampang Jaya BC musim ini.

Goh Jin Wei yang berjaya menghadiahkan mata buat Ampang Jaya BC berkata, “Tak senang untuk perlawanan ini kerana ianya perlawanan pertama dan saya belum menyesuaikan diri dengan gelanggang.”

“Saya harap dapat membawa Ampang Jaya BC menjuarai SSPL kali ini. Selain itu, dengan persiapan kesemua pasukan yang semakin mantap untuk menghadapi SSPL, saya berharap dapat mempelajari sesuatu daripada liga ini,”kata Jin Wei.

Turut hadir merasmikan perlawanan pembukaan SSPL tadi adalah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Steven Sim Chee Keong.

Dia berkata, “Saya mengucapkan tahniah kepada Purple League kerana menganjurkan siri saingan musim ini. Memang kita menggalakkan banyak lagi kejohanan atau liga yang dianjurkan oleh pihak swasta.

“Saya nampak ada saingan yang amat baik dalam sukan badminton di mana kelab-kelab badminton bersaing untuk memupuk, mencungkil dan mencari bakat-bakat badminton untuk negara kita. Jadi, saya amat menggalakkan perkembangan sebegini, saya harap ekosistem seperti ini boleh dilaksanakan untuk sukan lain juga,”kata Steven ketika ditemubual.

SSPL 2018/19 berlangsung dalam format round robin dan playoff memulakan peringkat pertama dari 21-24 Disember, 26-30 Disember, dan 2-6 Januari 2019. Peringkat kedua pula adalah pada 11-13 Januari di venue sama iaitu di Gem In Mall, Cyberjaya manakala pusingan akhir akan berlangsung di Resorts World Genting pada 24-27 Januari 2019.