SSPL 18/19: Petaling BC Bertenaga Atasi Bandar Maharani BC 15-4

CYBERJAYA (23 Disember 2018): Kelab Badminton (BC) Petaling berjaya mencatatkan kemenangan pertama dalam saingan SS Purple League (SSPL) 2018/19 setelah menang 15-4 ke atas Bandar Maharani BC di Gem In Mall, sebentar tadi.

Dalam aksi pembukaan pada Jumaat baru-baru ini, Petaling BC terpaksa akur tewas tipis 9-10 kepada Ampang Jaya BC biarpun mempersembahkan permainan melawan.

Pada perlawanan tadi, Cheam June Wei terlebih dulu memungut mata kemenangan buat Petaling BC dalam acara perseorangan lelaki selepas dia menang mudah 3-0 (11-7 11-8 11-5) ke atas pemain Bandar Maharani BC, Teh Jia Heng.

Pemain perseorangan wanita Petaling BC, Lim Yin Fun meneruskan pungutan mata penting buat pasukannya apabila dia mencatatkan kemenangan 3-2 (8-11 11-4 3-11 11-7 11-4) mengatasi pemain lawan, Yap Rui Chen.

Pungutan mata Petaling BC bertambah kukuh selepas Aaron Chia- Man Wei Chong pula meraih kemenangan dalam acara beregu lelaki. Mereka menang 3-1 (11-6 11-9 9-11 11-6) ke atas gandingan Bandar Maharani BC, Ooi Jhy Dar- Yap Roi King.

Gandingan Singapura dan Australia, Danny Bawa Chrisnanta- Gronya Somerville yang beraksi dalam acara beregu campuran selepas itu melebarkan lagi kutipan mata Petaling BC dalam perlawanan ini. Mereka menewaskan pasangan Bandar Maharani BC, Mohd Razlan Shah- Yap Yee 3-1 (11-7 11-8 9-11 11-8).

Iskandar Zulkarnain yang turun dalam satu lagi acara perseorangan lelaki memastikan pungutan mata kemenangan menjadi milik pasukan Petaling BC setelah dia menumpaskan Soo Teck Zhi 3-1 (11-5 6-11 11-6 11-7).

Pemain Petaling BC, Gronya yang ditemui selepas perlawanan berkata, “Saya rasa hari ini kami lebih bersedia dan bersemangat untuk perlawanan ini. Berbanding perlawanan sebelum ini, saya rasa semakin selesa cumanya di set ketiga, angin serta sedikit kesilapan menyebabkan kami tewas.”

“Selepas mencatatkan kemenangan hari ini, kami lebih yakin dengan kekuatan pasukan dan akan melakukan yang terbaik menentang pasukan lain yang juga agak kuat dalam SSPL,”kata Gronya.

Pada sebelah petang tadi menyaksikan Puchong United BC selaku juara bertahan beraksi baik untuk mendapatkan kemenangan kedua setelah mereka mengatasi Bukit Mertajam All Stars BC (BMASBC) 15-5 di venue sama.

Kemenangan itu adalah yang kedua buat Puchong United setelah mengatasi Tebrau City BC 13-8 dalam aksi pertama mereka semalam.